Penceramah motivasi yang juga Ahli Senat Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. G. Suresh Kumar berkata, aktiviti seperti melakukan kerja-kerja amal di rumah kebajikan mampu mewujudkan kesedaran dalam sikap individu untuk menghargai perkara yang berada di sekeliling mereka.

Katanya, kesedaran juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan nilai, keperibadian dan pemikiran positif dalam kalangan pekerja untuk melakukan tugas dengan sempurna.

“Kajian saintifik turut membuktikan bahawa kesedaran mampu mengubah persepsi atau pandangan kita bagi mencapai kebahagiaan, kepuasan dan kejayaan dalam sesuatu perkara.

“Ini bermakna jika kesemua pekerja mempunyai tahap kesedaran yang tinggi, secara tidak langsung sikap mereka akan berubah ke arah yang lebih positif kerana 80 peratus ciri-ciri individu yang berjaya adalah bergantung pada keperibadian manakala kemahiran hanya 20 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah motivasi PejabatKu SyurgaKu anjuran Jabatan Sumber Manusia Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Dewan Latihan, Ibu Pejabat Utusan Melayu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Utusan, Wan Nor Asmah Wan Ismail.

Menurut Suresh Kumar, selain melakukan aktiviti kesukarelaan, kesedaran juga boleh ditingkatkan dengan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti kerap marah, bergosip dan cemburu.

Katanya, individu yang kerap marah boleh menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan kerana perbuatan itu akan menggalakkan toksin larut dalam tubuh badan seterusnya menghidapi pelbagai penyakit serius seperti darah tinggi dan kencing manis.