NIK ANURA NIK ABDUL RAHMAN
NIK ANURA NIK ABDUL RAHMAN

Majlis yang akan dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu bakal menyaksikan kehadiran lebih 20 selebriti termasuk Datuk Rosyam Noor sebagai pengacara yang turut sama memeriahkan acara di Dewan Besar Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini.

Pengurus Komunikasi Korpo­rat Kumpulan Utusan, Nik Anura Nik Abdul Rahman berkata, sebanyak 12 anugerah akan disam­paikan kepada personaliti terpi­lih yang pernah menghiasi muka hadapan majalah itu berdasarkan kriteria tertentu.

Antaranya jelas beliau, model dan pelakon terkenal Nasha Aziz dipilih untuk menerima Anugerah Cover Supermodel; bekas ratu cantik Malaysia, Kavitha Kaur (Cover Terlaris); Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Cover Kerabat Diraja); Puan Sri Normala Samsudin (Cover Personaliti TV); Puan Sri Tiara Jacquelina (The Most Appearances Cover); Noorkumalasari (Cover Artis Malar Segar dan Datuk Marina Chin (Cover Tokoh Sukan).

Selain mereka katanya, Profesor Datuk Chef Wan dan anak perempuannya, Serina Redzua­wan untuk Anugerah Cover Pertama Lelaki; Neelofa dan Rozita Che Wan (Cover Zero to Hero); pengasas produk Sweedskin, Datuk Seri Siti Noor Asikin; jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Vida; Datuk Seri Rozita Ramelan dan Datuk Aliff Shukri (D’Herbs) untuk Anugerah Cover Usahawan.

Dua lagi anugerah iaitu Anu­gerah Cover Girl Keluaran Pertama disampaikan kepada Zaimah Alias dan Cover Bintang Lagenda pula kepada Datuk Maria Menado.

“Selain penghias kulit hadapan dari 1969 hingga 2017, bekas-bekas pengarang majalah Wanita juga akan diraikan dalam majlis itu,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, tetamu turut berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa pakej percutian ke Turki tajaan Wan Vacation; barangan elektrik daripada Philips; baucar penginapan di Hotel Lost World of Tambun, Merdeka Palace, The Grand Beach Resort, Puri Pujangga, AnCasa, RHR Hotel serta Sunway Putra; kad pembelian kelengkapan kediaman IKEA, Starbucks dan pelbagai hadiah menarik lain.

Majlis juga bakal diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Majalah UKSB, Arffin Nordin.

Penaja utama majlis adalah produk kecantikan Sweedskin keluaran SNA Wellness International Sdn. Bhd., yang juga merupakan syarikat di bawah DSN Group milik Datuk Seri Mohamad Suparadi Md. Noor dan isterinya, Siti Noor Asikin.

Wanita merupakan majalah pertama buat kaum hawa di Malaysia diterbitkan pada 13 Ogos 1969 yang menampilkan pengisian gaya hidup, personaliti wanita berjaya, fesyen, kecantikan, kesihatan, isu-isu semasa dan pelbagai cerita menarik mengenai inspirasi wanita.