Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, perasaan terharu dan bangga tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata apabila melihatkan kehebatan muka depan majalah Wanita sering dihiasi dengan personaliti-personaliti terkemuka tanah air.

“Kehadiran barisan perso­na­liti selama ini membuktikan sokongan dan kepercayaan mereka tidak pernah luntur. Terima kasih, jasa dan sumbangan anda terhadap majalah Wanita selama ini sungguh luar biasa.

“Kemampuan Wanita yang sudah bertahan selama 48 tahun adalah satu kejayaan yang menjadi kebanggaan bukan sahaja di Utusan Melayu malah kepada semua wanita di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Minum Petang Sempena Ulang Tahun Ke-48 Majalah Wanita di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir sebagai tetamu kehormat dan turut menerima Anugerah Tokoh Wanita yang merupakan anugerah julung-julung kali diberikan oleh majalah tersebut kepada tokoh wanita yang dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menyentuh mengenai anugerah tersebut, Noordin berkata, ia adalah peluang terbaik untuk memberi penghargaan khusus kepada seorang tokoh wanita yang telah membantu mening­katkan pembangunan sosial gender wanita di negara ini.

“Di fikiran kami, hanya terlintas satu penerima sulung yang ideal iaitu Datin Seri Rosmah Mansor yang telah banyak memainkan peranan dalam pelbagai bidang, inilah watak seorang srikandi, isteri, ibu yang berkaliber tinggi, berjiwa kebangsaan dan negarawan unggul,” katanya.