Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah segala nilai murni akan diterap kepada rakyat selepas perbincangan dan penelitian oleh jawatankuasa itu.

Selain itu, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis pula akan mengangkat ketinggian adat di kalangan rakyat, titah baginda selepas melawat Masjid Ayasofya Camii Westermoskee di sini baru-baru ini.


Menurut baginda, ketinggian adat itu adalah selari dengan kehendak agama yang sentiasa mengutamakan ketertiban dan kemurnian akhlak.


Bagi menggalas amanah ini secara bersama, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis bersama sekolah-sekolah di seluruh Perlis diminta menyumbang idea ke arah yang sama.


Ïni penting kerana pembentukan rakyat yang unggul harus bermula bukan sahaja di peringkat sekolah malah di peringkat pra sekolah dengan sasaran menjayakannya dalam tempoh lima tahun, tambah baginda yang juga Yang Dipertua Maips.


Sementara itu, sempena lawatan ke masjid terbesar di Belanda itu, baginda turut menyampaikan sumbangan zakat Maips yang jumlahnya tidak dinyatakan kepada imamnya, Abdul Rahman Yasli.


Turut menyaksikan penyerahan itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan pengerusi jawatankuasa masjid, Gazi Cirik.


Berangkat sama, anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail.


Masjid dengan rekabentuk Ottomaniah seluas 800 meter persegi itu boleh memuatkan seramai 800 jemaah pada satu-satu masa dan ruang dalamannya bakal diperbesarkan.


Masjid itu mula beroperasi pada 2016 dan memerlukan kira-kira Euro 1 juta daripada para penyumbang untuk menampung fasa dua pembangunan dengan mewujudkan ruang tingkat atas masjid.


Di Belanda terdapat 550 buah masjid termasuk 50 buah di Amsterdam di samping tiga buah universiti Islam dan 45 buah sekolah agama Islam.


Belanda mempunyai kira-kira sejuta penduduk Islam manakala di sekitar Amsterdam sebanyak 50,000 orang. - BERNAMA