Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs, menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas inisiatif oleh semua kakitangan serta pelbagai jaringan rakan strategik MAIPs yang telah membantu secara langsung mahupun tidak langsung menaikkan nama MAIPs di persada antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Baginda dalam lawatan kerja ke sini dan semalam berkenan berangkat melawat, solat zohor berjemaah dan seterusnya menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM1,000 kepada Masjid Bangluang yang terletak di barat tebing Sungai Chao Phraya di Bangkok.

Imamnya, Ustaz Ramadan menerima bagi pihak masjid tersebut.Masjid itu mempunyai senibina yang menggabungkan ketiga-tiga ciri tradisional iaitu Thai, Cina dan barat.

Ia juga mempunyai koleksi al-Quran hasil tulisan tangan ulamak menggunakan biji padi di Ayuthayya 30 juzuk yang disimpan dengan baik.

Dalam pada itu Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat menyertai program berbasikal ‘Cycling @ Bangkok’ melawat lokasi-lokasi pelancongan menarik di sekitar barat tebing Sungai Chao Phraya.

Program tersebut dianjurkan oleh THAI-ASEAN Halal Tourism and Trade Association (TAHTA) dan Bangkok Metropolitan Administration (BMA).

Ia turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Kelab Berbasikal TTG Perlis.

Keberangkatan baginda disambut oleh Mejar Jeneral Polis (B), Datuk Pichate Pitisatepan dan Pegawai Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan BMA, Thanat

Bhumarush.

Berangkat sama ke ibu negara gajah putih tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail yang berangkat menghadiri program lain pada masa yang sama.

Antara lokasi menarik disinggahi ialah Muzium Somdet Chaopraya, kubu lama syahbandar, bangunan gudang warisan Lhong, jeti Laem Thong Salt Limited Partnership, Princess Mother Memorial Park, Muzium Baan Kudi Chin serta perkampungan Portugis.

 

Baginda dan ahli kayuhan turut melawat serta menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs masing-masing berjumlah RM1,000 untuk tujuan kegunaan dakwah di tiga buah masjid sekitar kawasan dilawati tersebut iaitu Masjid Merah Goowatin, Masjid Bangluang dan Masjid Ton Son.

Baginda dan para peserta turut singgah di rumah-rumah ibadat agama lain termasuklah Gereja Santa Cruz dan tokong Cina selain beberapa buah wat Buddha di sepanjang perjalanan tersebut.

Kayuhan berakhir pada pukul tiga petang di dewan Sekolah Al Quran yang dikendalikan oleh Masjid Ton Son Bangkok Nyai di Jalan Wang Doem.

Difahamkan Raja Muda Perlis merupakan ahli keluarga diraja dunia kedua selepas Prince Henrik suami kepada Ratu Margrethe II dari Denmark yang pernah mengadakan program berbasikal sedemikian rupa juga di kawasan tersebut sebelum ini. - UTUSAN ONLINE