Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, biasiswa tersebut meliputi pembiayaan yuran pengajian, kemudahan penginapan dan pengangkutan serta wang saku bulanan selama tempoh pengajian diploma atau ijazah di institusi pengajian naungan MAIPs itu.

“Terma serta syarat layak pemilihan calon akan diputuskan oleh pihak pengurusan KUIPs dalam masa terdekat,” titahnya.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPS bertitah demikian selepas mengikuti program Kembara Bermotosikal Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF)-MAIPs 2017 sempena Hari Kebangsaan 2017 di Rumah Kanak-kanak Arau, Guar Nangka di sini, petang semalam.

Yang turut hadir ialah Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs juga sedang membuat perancangan bekerjasama dengan pejabat Perwakilan Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk Myanmar bagi tujuan pelaksanaan program-program kemanusiaan di sana.

Titahnya, langkah tersebut sesuai dengan dasar OIC untuk membantu umat Islam sedunia tanpa mencampuri urusan politik dalaman sesebuah negara.

Baginda bertitah, pendekatan kerjasama sedemikian dilihat amat signifikan kepada usaha solidariti umat Islam sedunia bersama etnik Rohingya.

Raja Muda Perlis turut mengajak umat Islam di seluruh dunia bersatu sebagai tanda solidariti terhadap etnik Rohingnya di Myanmar.

Titah baginda, dengan pelbagai kisah duka tentang etnik itu yang didengar saban hari menjadikan setiap umat Islam turut merasai penderitaan dialami mereka seterusnya sama-sama membantu bagi menangani isu berkenaan.

“Isu pembantaian dan penghapusan etnik ini merupakan isu kemanusiaan sejagat yang serius dan tidak terbatas oleh sempadan agama, bangsa, warna kulit bahkan merentasi sempadan negara itu sendiri,” titahnya.