Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, cadangan-cadangan yang dikemukakan mesti berupaya menambah baik aspek pengagihan, pengurusan selain usaha untuk mengenalpasti asnaf.

“MAIPs adalah milik kita semua. Peranan ketua jabatan agensi kerajaan dan swasta mempromosikan pembayaran zakat pendapatan melalui MAIPs akan membolehkan majlis itu meningkatkan pengagihan zakat serta membantu agama dan ummah,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, bertitah merasmikan majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Pendapatan Kepada MAIPs Tahun 2018 serta sambutan ulang tahun Tentera Darat Ke-86 di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri di sini, hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada tahun lepas, MAIPs mengagihkan zakat berjumlah RM16,090,046 kepada 17,688 penerima melalui Bantuan Sara Hidup Berkala, RM8,576,500 Bantuan Sara Hidup Bulanan kepada 4,461 penerima.

Seramai 9,403 orang lagi menerima Bantuan Zakat Fitrah berjumlah RM3,451,200, Bantuan Serta Merta IPT kepada 2,754 pelajar (RM432,216), bantuan perubatan dan bencana (RM745,427), bantuan kepada 16 Institusi Pendidikan Islam di Perlis (RM9,007,856) manakala bagi program dan aktiviti kemasyarakatan dan dakwah berjumlah RM5,656,248.

Selain itu, baginda bertitah pada tahun lepas MAIPs telah membina dan membaikpulih 205 buah rumah dengan kos RM5,271,133. - BERNAMA