Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Turut hadir pada majlis itu ialah Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; ketua-ketua jabatan kerajaan negeri, Persekutuan serta pihak swasta.

Sementara itu, Mohd. Nazim berkata, kutipan berkenaan dilaksanakan hasil inisiatif MAIPs dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Belia IQ Perlis dan Sekretariat Misi Bantuan Bencana.

Katanya, kutipan akan dibuat di masjid di seluruh negeri ini selama lapan hari bermula 12 sehingga 19 Oktober ini.

“MAIPs turut merancang untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Baitul Maal Hidayatullah (BMH) Indonesia (www.bmh.or.id) yang merupakan rakan strategik MAIPs dalam misi bantuan bencana di Palu, Sulawesi kali ini,” katanya.

Untuk rekod, MAIPs telah menyampaikan sumbangan awal bernilai RM20,000 yang diserahkan sendiri oleh baginda selaku Yang Dipertua MAIPs melalui BMH Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi serta tsunami di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, baru-baru ini.- UTUSAN ONLINE