Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, dalam hal ini, MAIPs sentiasa bersedia menerima pandangan serta cadangan daripada semua pihak untuk terus memperbaiki perkhidmatannya.

"MAIPs turut mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan yang sentiasa membantu MAIPs khususnya dalam menjayakan program ini yang memasuki tahun ke lima ia dilaksanakan secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri acara kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf di sekitar kampung dalam kawasan Bandar Diraja Arau sebagai penutup tirai 2017, semalam.

Program itu disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan bercemar duli menyertai program kayuhan berkenaan.

Sebagai rekod, MAIPs telah melaksanakan sebanyak 56 kali program tersebut yang melibatkan seramai 168 asnaf yang menerima sumbangan RM400 setiap buah keluarga dengan jumlah keseluruhan RM66,000 pada 2013 diikuti pada 2014 sebanyak 88 kali-264 asnaf (RM105,600).

Selain itu, sebanyak 106 kali-318 asnaf pada 2015 (RM159,000); sebanyak 72 kali-2,376 asnaf pada 2016 (RM1.425 juta dengan peningkatan sumbangan RM500 setiap buah keluarga) dan sebanyak 71 kali-3,463 asnaf pada 2017 (RM2.077 juta, RM600 setiap buah keluarga).

Tambah Mohd. Nazim lagi, pihak pengurusan MAIPs sungguh bersyukur dan bertuah kerana setiap 393 kayuhan yang dilaksanakan sepanjang lima tahun tersebut kesemuanya dihadiri dan diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs. - UTUSAN ONLINE