MRM dalam kenyataan memberitahu, memainkan muzik tanpa lesen adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Hakcipta 1987.

“Ini kerana, tindakan itu dianggap sebagai menafikan bayaran terhadap penggunaan harta intelek yang dimiliki pengkarya muzik, syarikat rakaman dan artis rakaman.

“Oleh itu, sila pastikan acara perkahwinan yang memainkan muzik dalam bentuk rakaman atau secara langsung mendapatkan lesen muzik daripada MRM,” katanya di sini hari ini.

Berkuatkuasa pada 1 Januari 2017, MRM telah diberi mandat sebagai pelesen tunggal oleh agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ketika itu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk mengeluarkan lesen muzik dan kutipan bayaran di negara ini.

Terdahulu sepucuk surat daripada MRM yang bertajuk ‘Lesen untuk Majlis Perkahwinan di Lokasi Komersial’ itu tular dalam media sosial. - UTUSAN ONLINE