Di usia 28 tahun, Neelofa melakar sejarah sebagai artis Melayu pertama diundang menjadi ahli panel dalam forum belia anjuran MISK dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNDP) di New York, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lepas yang memfokuskan kepada usaha pemupukan pemahaman antara budaya, toleransi, saling menghormati dan etika kewarganegaraan global serta tanggungjawab bersama.
Dari New York, Neelofa terbang pula ke Milan, Itali bagi menghadiri acara koleksi fesyen Swarovski yang mana beliau menjadi jurucakapnya.
Di Milan, Neelofa memperoleh layanan kelas lima bintang setaraf selebriti-selebriti ternama dunia. Sementara pada 3 Oktober ini, Duta Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) itu sekali lagi diundang untuk berkongsi pandangan di persidangan antarabangsa di Boston, AS di hadapan 4,000 tetamu jemputan.
Pada April lalu, nama Neelofa terpilih sebagai antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 yang kemudiannya membawa beliau ke Manila, Filipina untuk menjadi salah seorang panel program Breaking The Era of Women Stereotype anjuran Forbes Asia Summit. Pengasas dan Pengarah Urusan NH Prima International Sdn. Bhd. itu bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, SAHARUDIN MUSTHAFA dan KHADIJAH IBRAHIM serta jurugambar, MOHD. FARIZWAN HASBULLAH mengenai rasa syukur dan beruntungnya beliau melibatkan diri di pentas-pentas antarabangsa.

KUALA LUMPUR 29 September 2017 - Sesi wawancara bersama pelakon,
 

MINGGUAN: Selepas berjaya dengan perniagaan hijab sehingga menembusi pasaran luar negara, Neelofa kini diundang sebagai speaker di pentas antarabangsa iaitu peluang yang jarang diperoleh oleh artis Melayu. Bagaimana semua ini boleh berlaku?

NEELOFA: Pertama sekali, terima kasih kepada Mingguan Malaysia kerana melihat komitmen saya ini sebagai satu hal yang positif untuk dikongsi dalam akhbar anda. Saya amat menghargainya.

Sebetulnya, undangan-undangan ini berlaku selepas majalah Forbes menyenaraikan nama saya sebagai antara mereka yang berusia di bawah 30 tahun yang sukses dalam perniagaan dan kemudiannya diundang untuk berkongsi aspirasi di sebuah persidangan Asia di Manila, Filipina.

Bila menerima jemputan ini, saya berpendapat saya tidak boleh menolaknya walaupun selepas membaca surat jemputan itu, jantung saya bagai nak gugur.

Diundang bercakap soal pembangunan wanita di luar negara adalah hal yang tidak pernah saya fikirkan. Walaupun takut dan gemuruh, saya cabar diri saya melakukannya untuk negara.

Alhamdulillah, untuk fasa pertama bagi peringkat Asia, saya berjaya membuktikannya di Manila di hadapan seramai 300 orang. Di situ juga, saya mengorak langkah mencari rangkaian kenalan baharu.

Pada 3 Oktober ini, saya sekali lagi diundang untuk bercakap di hadapan 4,000 orang di Boston untuk persidangan yang sama bagi peringkat dunia mengenai kejayaan saya dalam perniagaan hijab dan kemampuan wanita bersaing di peringkat antarabangsa.

Di Boston saya akan bercakap mengenai kejayaan saya mengusahakan hijab jenama saya selain memberi inspirasi dan menggalakkan wanita-wanita muda dalam perniagaan.

Penampilan di Manila mengubah sepenuhnya persepsi saya terhadap kemampuan diri.

Saya katakan pada diri saya, apa lagi yang perlu saya lakukan? Berlakon sudah, menjadi hos program sudah, bergelar jurucakap produk juga sudah. Jadi, apa lagi?

Yang saya lihat, lazimnya dalam industri hiburan, apabila seseorang itu berlakon, menyanyi, mengacara dan berniaga, mereka akan fokus pada cabang-cabang itu sahaja. Saya juga tidak terkecuali.

Selepas lama berfikir, saya akhirnya memilih untuk fokus pada pelaburan pembangunan diri saya sendiri. Saya mencari di internet apa yang baik untuk saya sertai sehinggalah saya memilih menyertai persidangan belia anjuran UN di New York.

Saya ambil inisiatif dengan menghantar permohonan. Alhamdulillah dapat juga saya sertai kem selama dua minggu di sana.

Kenapa saya memilih memberi fokus pada pembangunan diri juga adalah kerana saya sangat percaya hanya ilmu yang akan membezakan kita dengan orang lain. Selain itu, peluang sebegini akan memberi kesempatan kepada kita untuk membentuk karakter masing-masing.

Berada di pentas antarabangsa, bertemu tokoh-tokoh hebat antarabangsa, apa yang Neelofa pelajari daripada pengalaman-pengalaman itu?

NEELOFA: Paling utama adalah rangkaian kerjasama, peluang bertemu dengan ramai orang baharu, mempelajari budaya pemikiran orang-orang hebat, cita-cita dan aspirasi mereka.

Ya Allah, saya benar-benar melihat besarnya kehidupan ini apabila kita berada di luar dan apabila bergaul dengan orang-orang hebat. Saya amat bersyukur.

Bukan hanya tokoh-tokoh ternama antarabangsa dalam pelbagai disiplin, bahkan ketika menyertai perhimpunan beliau dan bergaul bersama 1,500 remaja dari 110 buah negara juga memberikan saya banyak inspirasi.

Saya merasakan diri sangat kerdil apabila berada di samping mereka. Walaupun majoriti jauh lebih muda daripada saya, namun keinginan, cita-cita dan semangat mereka sangat besar. Mereka benar-benar memberi inspirasi kepada saya.

Pengalaman di sana betul-betul membuka mata saya dan saya ingin nasihatkan kepada mereka yang sebaya atau yang lebih muda daripada saya, jangan mudah putus asa. Biasakan cabar diri dan kemampuan serta jangan terlalu mudah puas hati dengan apa yang kita ada.

Bagaimana penerimaan orang luar bila tahu nama Neelofa cukup besar di Malaysia dan punya lima juta pengikut di Instagram?

NEELOFA: Semasa di UNPD saya bertemu dengan ramai orang termasuk seorang pegawai dari Yayasan Raja Salman. Beliau begitu teruja dengan profil saya.

Melihat latar belakang saya membuatkan beliau mahu saya aktif dengan yayasan berkenaan kerana saya adalah artis dari sebuah negara Islam yang juga memiliki perniagaan hijab. Beria-ia beliau mahu saya menjadi speaker dalam sidang yang akan dimaklumkan nanti.

Bila kenangkan kembali, saya bersyukur kerana saya tidak silap membuat keputusan mengenai hala tuju saya dalam hidup. Kedudukan sebagai artis juga memberi peluang untuk saya menempa pengalaman di luar negara. Walaupun penat, tapi saya bersyukur kerana Allah memberi kekuatan kepada saya.

Saya juga gembira kerana dapat membawa imej Islam dan Malaysia ke luar. Saya tidak lakukan semua ini untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Dari mana Neelofa memperoleh keyakinan diri yang tinggi untuk bercakap di pentas antarabangsa?

NEELOFA: Sebenarnya saya masih berusaha mendapatkan keyakinan diri tetapi percayalah saya terinspirasi daripada ramai orang yang saya temui sepanjang perjalanan hidup saya. Ada kalanya juga, hal-hal kecil yang kita buat sehinggakan menggembirakan orang lain juga memberi inspirasi kepada saya.

Pokoknya, keyakinan diri juga akan muncul secara bersahaja dari dalam diri sendiri dan kerana kita percaya dengan apa yang kita lakukan.

Apa yang mendorong Neelofa nekad untuk mencari ruang-ruang baharu di luar negara ketika Neelofa sudah memiliki segala-galanya dalam negara?

NEELOFA: Seperti yang saya sebut tadi, pertamanya saya cuka mencabar diri sendiri dan keduanya saya perlu mencari aktiviti baharu untuk saya lakukan. Berlakon, mengacara, berniaga, menjadi jurucakap produk semuanya sudah saya lakukan. Jadi apa lagi? Dan kenapa?

Semuanya adalah kerana untuk masa depan saya. Sebabnya, dengan apa yang saya ada, berapa lama boleh bertahan?

Kita tidak tahu. Lagipun, peluang ada di depan mata, rugi kalau saya tak rebut. Bukan senang sebenarnya nak dapat peluang sebegini dan berkelana ke luar negara atas komitmen sebegini memberikan saya banyak ilmu baharu. Saya amat bersyukur.

Ramai orang melihat Neelofa bijak memanfaatkan kedudukan Neelofa sebagai selebriti untuk mengejar peluang-peluang yang besar di luar sana. Apa komen Neelofa?

NEELOFA: Saya berpendapat, kedudukan sebagai artis tidak hanya terbatas pada nyanyian dan lakonan semata-mata. Saya mengkaji setiap satu peluang dan kemungkinan yang boleh diambil oleh selebriti.

Sebenarnya, banyak benda yang boleh semua artis lakukan, apa lagi dalam perkembangan dan ledakan media sosial membuka banyak ruang dan peluang untuk kita manfaatkan.

Beruntungnya menjadi artis ialah kita mempunyai ramai pengikut khususnya di laman sosial dan jumlah pengikut ini merupakan kekuatan untuk kita merangka rangkaian kerjasama global.

Atas kapasiti itu, letaklah artis di celah mana pun di dunia ini kita boleh hidup. Kalau sudah ada dua juta pengikut di Instagram, kamu tentu sekali seorang yang berpengaruh. Fikirkan.

Saya bercakap hal ini berdasarkan pengalaman saya semasa menyertai kem beliau di AS selama lebih dua minggu.

Hanya selepas tiga hari di kem itu, apabila setiap delegasi mula berkenalan dengan lebih rapat antara satu sama lain dan bertanya mengenai peribadi saya, di situ saya mula nampak potensi untuk saya meluaskan pengaruh saya.

Mereka tergamam bila mengetahui saya mempunyai lima juta pengikut di Instagram. Mereka mula bercakap dan mendekati saya dan dari situ saya meluaskan rangkaian kenalan.

 

Kejayaan Neelofa hari ini juga sekali gus mengubah pandangan skeptikal masyarakat terhadap kedudukan artis. Neelofa membuktikan artis bukan sekadar kejar publisiti dengan cerita-cerita remeh sahaja. Apa yang ingin Neelofa jelaskan terhadap pemerhatian ini?

NEELOFA: Seperti yang saya sebutkan, orang popular memiliki banyak pengikut, ruang, rangkaian dan sumber yang sangat kuat. Itu adalah kekuatan artis yang mungkin kurang difahami. Saya katakan mungkin kerana ada juga artis yang menyedari dan menggunakan sepenuhnya kelebihan-kelebihan itu.

Paling utama ialah kita harus buktikan kemampuan kita untuk berfikir di luar kotak. Lihat sahaja saya, dulunya saya hanyalah gadis biasa yang tidak punya apa-apa. Berkat percaya pada diri sendiri dan memahami tiada satu pun yang mustahil untuk berlaku, saya buktikan.

Bila kenangkan kembali, saya sendiri sukar untuk mempercayai semua ini berlaku pada diri saya. Apa lagi, saya tampil dengan imej berhijab, banyak batasan yang harus saya patuhi, tapi Alhamdulillah saya capai semua itu hasil percaya pada diri sendiri.

Sebagai seorang wanita yang berjaya dalam perniagaan dan seni tetapi masih bersendirian, apa kebimbangan yang bersarang dalam diri Neelofa?

NEELOFA: Bimbang? Saya yakin ramai yang bertanya kebimbangan mengenai jodoh. Sepertinya tidak ada (kebimbangan) kerana saya benar-benar percaya pada aturan Allah.

Saya sekadar melalui kehidupan hari ini mengikut arus. Saya juga tidak fikir sangat mengenai jodoh kerana saya percaya Allah akan memberikannya pada masa yang terbaik, pada waktu yang tepat dan tentu sekali dengan lelaki yang terbaik buat saya, Insya-Allah.