Indikator tersebut berdasarkan pencapaian terbaik dicapai negeri ini yang kini mempergiatkan usaha besar-besaran untuk menjadikan Johor kuasa ekonomi selatan menerusi visi dan pelan ekonomi yang radikal.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa membentangkan Bajet Johor 2017 mengumumkan anggaran lebihan RM1.303 bilion, bajet lebihan tujuh tahun berturut-turut sejak 2011.

Menurutnya, Bajet Johor 2017 itu berdasarkan anggaran hasil RM1.609 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 12.86 peratus berban­ding anggaran bajet tahun ini.

“Anggaran perbelanjaan pada 2017 pula berjumlah RM1.607 bilion yang meningkat sebanyak 12.89 peratus,” katanya semasa membentangkan Bajet Johor 2017 bertemakan 'Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera' di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan belanjawan pembangunan yang tertinggi dalam sejarah negeri itu, iaitu sebanyak RM763.3 juta, meliputi 47 peratus daripada peruntukan keseluruhan bajet kali ini.

Mohamed Khaled berkata, Johor merupakan pemangkin pertumbuhan ketiga terpenting untuk Malaysia dan menyumbang 0.5 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang pada kadar lima pe­ratus bagi tahun 2015.

“Dengan ringkas pencapaian terbaik itu, maka jelas Johor telah meletakkan asas kukuh kepada ekonomi negeri dan ia perlu diles­tarikan dalam menggerakkan usaha menjadikan Johor kuasa ekonomi selatan.

“Maksudnya, Johor bukan hanya sekadar menjadi ekonomi termaju di selatan Malaysia tetapi menjadi kuasa ekonomi baharu negara dan rantau Asia Tenggara,” katanya.