Kesunggguhan penerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan sebanyak tiga kali itu dibuktikan apabila beliau mewujudkan Teratak Spa, iaitu projek kecantikan dan perapian diri melibatkan pelajar istimewa di sekolah tersebut, beberapa tahun lalu.


Paling membanggakan, usaha guru wanita berusia 58 tahun itu menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan selain mendapat kerjasama penuh Jabatan Pembangunan Kemahiran, tahun lalu.


“Di SMK Panji, terdapat 82 pelajar istimewa yang mengikuti Pendidikan Khas dengan 15 daripada mereka berada dalam projek Teratak Spa. Dari tahun ke tahun, saya lihat peluang anak-anak ini melanjutkan pelajaran terhad berbanding rakan sebaya mereka yang normal.


“Saya khuatir apa yang mereka pelajari terhenti begitu sahaja sebaik sahaja tamat sekolah. Jadi saya memasang impian membuka pusat latihan spa supaya anak-anak istimewa ini terus mendalami ilmu dan menjadikan kemahiran yang mereka ada sebagai kerjaya,” katanya.


Razhiyah merupakan antara 50 guru dari seluruh dunia yang disenarai pendek untuk menerima Anugerah Guru Global 2018 yang bakal diumumkan sekitar Mac tahun depan.


Dianjurkan sebuah pertubuhan antarabangsa Yayasan Varkey, Anugerah Guru Global 2018 adalah satu pengiktirafan kepada guru di seluruh dunia yang menawarkan wang tunai bernilai AS 1 juta (RM4.1 juta) kepada pemenangnya.


“Ini adalah kali kedua saya cuba bertanding untuk Anugerah Guru Global 2018 dan saya menjadi rakyat Malaysia kelima yang pernah tersenarai dalam 50 guru terbaik dari seluruh dunia yang berpeluang memenangi anugerah terbabit.


“Saya langsung tidak menjangkakannya. Saya cuma mahu terus mencurahkan pengalaman yang dimiliki kepada anak-anak istimewa ini mendapatkan kemahiran dan peluang kerjaya dalam bidang kecantikan muka dan kaki serta urutan tangan,” katanya. - UTUSAN ONLINE