Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, istilah tempat terbuka bukan bermaksud ia mesti dijalankan di tempat awam seperti stadium.

Beliau berkata, penentuan lokasi bergantung sepenuhnya kepada mahkamah dan kerajaan negeri tidak akan campur tangan.

"Kita tidak akan campur tangan, selain penjara mahkamah yang akan tentukan tempat terbuka yang sesuai.

"Terdapat perbezaan antara istilah tempat terbuka dengan 'in public', ini yang selalu orang keliru.

"Kita jalankan secara terbuka kerana itu yang disebut dalam kitab dan pandangan ulama, kita juga mahu tunjukkan kepada masyarakat perbezaan antara hukuman sebat sivil dan syariah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 11 Julai lalu sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat terhadap pesalah dijalankan di tempat terbuka. - UTUSAN ONLINE