Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor itu mendakwa, dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. yang mengendalikan operasi AES sebelum ini tidak mempunyai tanggungjawab mendidik pengguna jalan raya tetapi hanya mengaut keuntungan semata-mata.

"Apa yang penting ialah kita nak mendidik rakyat kita tidak boleh mengambil kesempatan untuk mendidik kemudian kita dapat duit rakyat. Ini syarikat swasta sebab itu mereka tidak ada tanggungjawab mendidik.

"Syarikat swasta kalau mendidik rakyat tak buat salah maka syarikat tidak dapat duit, kerajaan nak didik rakyat dan rakyat kena sedar mereka perlu patuhi peraturan dan undang-undang jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Kota Setar dan Pokok Sena di Aman Central di sini hari ini.

Beliau yang juga berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengumuman pembatalan saman AES serta-merta dan operasi kamera dan saman AES akan diambil alih sepenuhnya oleh JPJ bermula 1 September ini.   

Mahfuz merupakan antara pemimpin politik yang cukup terkenal dengan kelantangannya membantah AES ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN). - UTUSAN ONLINE