Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, MAHB bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malindo Airways Sdn. Bhd. dan AirAsia Bhd. akan bersama pihak kementerian dalam mendokong inisiatif mempromosikan minyak sawit menerusi sektor penerbangan.

"Pihak terlibat akan membawa mesej industri minyak sawit ini menerusi paparan digital, majalah dan hiburan dalam penerbangan untuk bacaan serta tontonan para pelancongan khususnya luar negara.

"Saya berbangga kerana masing-masing menyokong kempen sebegini sekali gus dapat memperlihatkan semangat patriotisme mereka untuk mendokong produk tempatan, malah dapat menepis persepsi negatif antarabangsa terhadap minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Teresa mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin; Ketua Pengawai Eksekutif MAB, Izham Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Malindo, Chandran Rama Murthy.

Pada masa sama, Teresa berharap lebih ramai pihak tampil ke hadapan untuk bersama-sama kerajaan mendokong kempen Sayangi Minyak Sawit Malaysia yang dilihat dapat meningkatkan serta mengembalikan potensi industri itu ke peringkat lebih baik.

Kempen Sayangi Minyak Sawit Malaysia merupakan usaha kerajaan bagi memartabatkan industri itu dengan memfokuskan dalam sektor sosio-ekonomi, kesihatan, makanan dan pembuatan barangan bukan makanan. - UTUSAN ONLINE