Timbalan Presidennya, Haissazc Shuqkin Hisham berkata, pelantikan tersebut jelas melanggar prinsip autonomi universiti yang diperjuangkan sendiri oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

“Berdasarkan rekod dan sumbangan beliau di universiti terutamanya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), saya menganggap beliau merupakan kenalan baik Menteri.

“Namun demi menghormati prinsip autonomi universiti, saya menganggap beliau tidak layak sama sekali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA atas sebab penglibatan beliau sebagai ahli politik yang mana beliau merupakan Pengerusi PKR Perak dan calon parti di Parlimen Bagan Serai pada pilihan raya umum lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya semalam.

Muhammad Nur diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA yang baharu selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Oktober lalu hingga 30 September 2021.

Dalam pada itu, Haissazc Shuqkin turut mengajukan beberapa persoalan kepada Maszlee berkenaan lantikan tersebut, demi mengembalikan prinsip bebas politik dalam pengurusan tertinggi universiti.

Katanya, sebagai universiti baharu UniSZA memerlukan mereka yang benar-benar tahu membuat keputusan terbaik untuk kepentingan universiti, bukan sekadar melantik dan memberi jawatan tertinggi atas dasar persahabatan ataupun kepentingan politik.

“Apakah kriteria utama yang melayakkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA?

“Adakah lantikan beliau mendapat sokongan dan pandangan bukan sahaja daripada pihak pengurusan tertinggi, tetapi daripada staf akademik dan bukan akademik serta Majlis Perwakilan Pelajar seiring dengan usaha memastikan tiada lagi lantikan politik di peringkat tertinggi pentadbiran universiti?” soalnya. - UTUSAN ONLINE