Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program Foodbank Malaysia akan diperluaskan ke kampus universiti awam dengan menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa memerlukan.

Menurutnya, KPDNHEP memainkan peranan sebagai penghubung dan mendapatkan komitmen daripada pasar raya untuk menyumbangkan lebihan makanan (food surplus) yang masih selamat untuk dimakan dan diambil oleh rakan strategik kementerian iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Foodbank bagi tujuan pengagihan.

“Saya mengambil maklum isu mahasiswa mengikat perut seperti dilaporkan oleh media sebagai berita utama baru-baru ini.

“Isu ini telah mendapat perhatian Kabinet dan topik ini dibincangkan secara mendalam bersama Kabinet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini melaporkan tentang perit-jerih golongan mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu dilaporkan terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada KPDNHEP bagi menyediakan 14 unit lori dilengkapi pendingin untuk kegunaan program Foodbank Malaysia.

Beliau berkata, menerusi Foodbank Malaysia, makanan percuma dapat diedarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di 20 universiti awam.

“Ini adalah inisiatif awam dan swasta untuk memperluaskan capaian bank-bank makanan yang ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

“Ini bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada pihak yang memerlukan dengan sebaiknya,” katanya.

Ditanya tentang mekanisme digunakan bagi memastikan kejayaan program berkenaan, Saifuddin berkata, pihak universiti serta persatuan mahasiswa akan mengenal pasti penerima bantuan Foodbank Malaysia.

“Urusan pengagihan makanan akan digerakkan pihak universiti dan persatuan merangkumi hal ehwal logistik serta penyediaan makanan berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE