Ujar Ishak Samdar, 50, yang merupakan penyemai pokok kelapa di Jabatan Pertanian Teluk Baru, pokok kelapa MYD berpotensi menghasilkan purata sebanyak 40,800 buah kelapa setiap tahun.

“Sehubungan itu, penanam pokok kelapa jenis ini boleh menjana pendapatan sekurang-kurangnya dari RM44,8800 hingga RM55,0800 setiap tahun,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Ishak yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam proses penyemaian pokok kelapa itu berkata, jika hasil kelapa sudah tua, ia biasanya dijual pada harga RM1.10 hingga RM1.35 bagi setiap biji.

Bertanya tentang cara menanam anak pokok kelapa MYD ini, Ishak memberitahu kaedahnya cukup mudah.

“Pembeli hanya perlu memotong akar yang berjurai keluar dari buah kelapa ini kerana akar yang sudah keluar tidak akan tumbah lagi.

“Apabila akarnya sudah dipotong, tanam separuh sahaja daripada bahagian kelapa dan selepas tiga tahun, ia sudah mula boleh dituai,” katanya.

Sementara itu, Ishak turut memberitahu sebanyak 1,500 anak kelapa MYD dibawa untuk program Road To MAHA 2018 yang berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak namun memasuki hari kedua, anak kelapa jenis ini tinggal berbaki 750 biji sahaja lagi. - UTUSAN ONLINE