Antaranya gerai Ais krim Melon Manis Terengganu resipi pasangan suami isteri,  Mohd. Ruwaidi awang, 39 dan Rohana Alias, 38 menjadi tumpuan ramai. 

Melon manis menjadi ikon negeri itu seperti mana mempelam harum manis yang menjadi buah kebanggaan rakyat Perlis.

Buah melon dengan kombinasi tekstur yang rangup, digabungkan pula dengan rasa manis dan berlemak dihiris nipis kemudian diletakan ais krim dan coklat yang mencetuskan sensasi ketika dimakan.

Kulit melon yang dijadikan bekas menjadikan ais krim tersebut tampak unik dan menarik perhatian pembeli.

Menurut Rohana, dia dan suami merupakan pengusaha tanaman melon secara fertigasi berjumlah 16,000 pokok di Alor Lintang, Besut.

"Buah melon yang dihasilkan memang banyak. Selain menjualnya secara segar, saya sentiasa berfikir bagaimana untuk menginovasikan penjualan buah ini.

"Hasilnya tercipta Ais krim Melon Manis Terenganu. Sambutan di MAHA amat mengalakan. Cuaca yang panas di sini memang sesuai untuk makan ais krim untuk menyejukan badan," jelas Rohana yang menjual ais krim itu RM7 semangkuk.

Selain ais krim pasangan itu turut menjual buah melon dengan harga RM9 sebiji. Harga tersebuh lebih murah berbanding dipasaran melebihi RM10 sebiji.

Menurut Rohana, MAHA menjadi lokasi terbaik bagi peladang menjual terus hasil pertanian mereka kepada pembeli tanpa melalui orang tengah sekaligus menguntungkan petani.

Road To MAHA 2018 edisi Timur di Pantai Kuala Kertih bermula hari ini dan akan berakhir Sabtu nanti. - UTUSAN ONLINE