Tinjauan Utusan Malaysia mendapati di kebanyakan lokasi pameran begitu sesak dengan orang ramai yang membawa ahli keluarga masing-masing untuk mengunjungi pelbagai sudut pameran yang menarik.

Malah, pengunjung terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan tram dan berhimpit-himpit di dalam kenderaan tersebut bagi membolehkan mereka melawat dari satu tempat ke tempat yang lain.

Namun, ada yang tidak mahu membuang masa menunggu tram dan sanggup berjalan kaki selain menyewa basikal kerana terlalu banyak lokasi menarik untuk dikunjungi.

MAHA 2016

Pagi tadi, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan lawatan di Laman Veterinar untuk bersama-sama dengan ahli-ahli Persatuan Generasi Transformasi Ruminan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Kelab GTR.

Kelab itu mengumpulkan ahli seramai 5,000 orang yang terdiri daripada para penternak lembu, kambing, rusa dan ternakan lain sejak ditubuhkan pada 2014.

Gelagat menteri berkenaan menarik perhatian apabila beliau yang menggayakan topi koboi mengelek seekor kambing Pigmy sambil menyanyi dan menari lagu tema MAHA, Hang Pi MAHA di atas pentas.

“Saya difahamkan Laman Veterinar merupakan segmen yang menerima kunjungan paling ramai orang kerana terdapat paling daya tarikan terutama dengan kehadiran lembu-lembu sado dan terdapat gerai menjual makanan berasaskan daging yang enak-enak belaka,” kata Ahmad Shabery.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail turut berkenan menghabiskan masa lebih sejam melawat Pavilion Perlis di MAHA hari ini.

MAHA 2016

Namun, tumpuan orang ramai adalah untuk merasai pelbagai jenis hidangan di Laman Empire Food di Dewan D yang dirasmikan pada tengah hari ini oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan MAHA 2016 pada pukul 4 petang ini dan akan dibawa melawat dan bertemu dengan para pengunjung MAHA. - UTUSAN ONLINE