Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, melalui agrotainment, pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira tiga juta pengunjung dalam pameran dwitahunan yang berlangsung selama 11 hari itu.

Kata beliau, pelbagai produk berasaskan pertanian, perladangan serta makanan disediakan untuk pengunjung termasuk kehadiran watak animasi terkenal Upin Ipin.

Jelasnya, dijangkakan jumlah jualan produk MAHA 2016 mampu mencapai sasaran yang ditetapkan kementerian iaitu RM300 juta.

“MAHA ialah program pertanian terbesar di Malaysia dan saban tahun kami cuba mencari kelainan. .

“Kali ini kita juga ada sediakan pakej perkhemahan yang menarik, pelbagai trak makanan mengikut selera golongan muda dan berharap mereka membelanjakan lebih banyak wang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Preview MAHA 2016 di sini hari ini.

Sebelum sidang akhbar, beliau melancarkan klip video lagu rasmi MAHA 2016 iaitu Jom Pi MAHA nyanyian kumpulan rock terkenal, Khalifah.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut Ahmad Shabery, pada tahun ini MAHA 2016 akan diserikan dengan persembahan konsert daripada artis tempatan dan luar seperti Ramli Sarip, Sheila Hamzah serta Wali Band bagi menghiburkan pengunjung pada waktu malam.

“Selalunya MAHA habis dalam pukul 5 atau 6 petang, tiada aktiviti malam, namun kali ini kita akan adakan konsert untuk menggamit lebih ramai pengunjung, selain memberi ruang kepada peniaga untuk melanjutkan masa perniagaan mereka,” jelasnya.