Menurut seorang pengunjung, Izati Zamani Husin, pada mulanya dia tidak mahu membeli jagung tersebut walaupun ia dijual murah.

"Namun setelah melihat orang ramai berpusu-pusu membelinya bertongkol-tongkol, saya pun jadi tergoda untuk memborongnya sehingga 20 tongkol," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Mohamad Ibrahim Uzair Harun berkata, jagung yang dijual pada harga RM1 untuk dua tongkol agak sukar ditemui.

"Bagi saya, inilah kali pertama dan kunjungan saya bersama keluarga ke Road To MAHA 2018 nampaknya tidak sia-sia kerana berjaya mendapatkan sesuatu yang cukup murah," katanya.

Peniaganya yang merupakan peserta program Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Titi Gantung, Nor Hotijah berkata, kesemua jagung yang dibawa hari ini adalah segar dari ladang.

"Kami bawakan sebanyak 40 guni dan jumlah keseluruhannya adalah lebih kurang 5,000 tongkol," katanya.

Road To MAHA 2018 adalah sebuah program Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tami dan selepas Lundu, Sarawak, ia diadakan di Teluk Intan, Perak mulai 31 Mac hingga 1 April sebelum meneruskan siri jelajahnya ke Kemaman, Terengganu, April hadapan. - UTUSAN ONLINE