BERNAS berkata, antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuklah 20 jenis beras tempatan dari Sabah dan Sarawak serta 30 jenis beras dari negara Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan dan Bangladesh.

“BERNAS akan berada di ruang pameran A214 di Dewan A serta di Laman Padi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Di ruangan tersebut juga akan dijadikan platform perkongsian maklumat mengenai tugas dan tanggungjawab BERNAS dalam membangunkan industri padi dan beras negara seperti Skim Pengilang Bumiputera, Pengurusan Pengagihan Subsidi Harga Padi, Pemutuan Padi dan maklumat mengenai beras plastik.

“Pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Wheel of Possibility’, pertandingan Badang, pertandingan menganggar berat beras turut diadakan. Lebih menarik adalah hadiah bekalan beras selama setahun juga bakal dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengekalkan tema “Makanan Kita, Masa Depan Kita”, pameran MAHA 2018 bakal berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember 2018 di MAEPS, Serdang.

Tambah kenyataan itu, Laman Padi turut dimeriahkan dengan juadah bubur lambuk yang dimasak menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan pelbagai lagi.

“Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, BERNAS juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti Putu Mayam, Inang-inang, Pongal dan juga bubur Congee kepada semua pengunjung di Laman Padi," ujar kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE