Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, setakat ini hanya lima buah kenderaan agrotruck dijadikan perintis kepada progam itu dan jumlah berkenaan dijangka meningkat pada beberapa tahun akan datang.

“Dulu usahawan karavan tani hanya memperoleh pendapatan bersih sekitar RM4,000 hingga RM6,000 namun menerusi agrotruck ini mereka mampu memperolehi pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM14,000 iaitu keuntungan sekali ganda daripada biasa.

“Agrotruck ini difokuskan terlebih dahulu hanya di kawasan pinggiran bandar terutamanya Lembah Klang dan sekiranya mendapat sambutan kita akan memperluaskan pula di negeri-negeri lain pula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan unit agrotruck sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Menurut Ishak, harga barangan yang dijual menerusi agrotruck ini turut dijual dengan lebih rendah berbanding harga yang dijual di pasaraya-pasaraya.

“Contohnya ayam sekilo di luar berharga RM7.50 namun agrotruck hanya menjualnya dengan RM5.99 sekilogram, penjimatan yang lebih banyak menerusi agrotruck,” ujarnya.

Sementara itu, Ishak memberitahu, kenderaan agrotruck dilengkapi dengan ciri-ciri khas antaranya termasuk menggunakan tenaga solar bagi menjana kuasa elektrik.

“Kenderaan berkenaan menggunakan tenaga solar jadi memudahkan mereka untuk berniaga pada waktu malam tanpa menggunakan jenerator,” katanya.-UTUSAN ONLINE