Antara tapak pameran yang turut menjadi tarikan ialah Pavilion Negeri di mana 13 negeri di dalam Malaysia mempamerkan keunikkan negeri masing-masing bagi menarik pengunjung mengunjungi rumah negeri mereka.

Di tapak rumah Negeri Sembilan misalnya, pengunjung pasti terpaku menyaksikan keunikkan di rumah Negeri Sembilan dengan urusetianya bercakap dalam loghat Negeri Sembilan bagi menarik orang ramai.

Lain pula kisahnya di rumah negeri Kelantan apabila dari jauh sudah kedengaran irama dikir barat yang begitu mengujakan kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Tapak Pavilion Negeri merupakan satu tempat terbaik untuk dilawati sekiranya anda ingin melancong ke seluruh Malaysia dalam masa sehari.

Bukan setakat muzik bahkan makanan popular setiap negeri seperti nasi dagang, nasi kerabu, rojak buah, masak lemak cili api dan kek lapis Sarawak juga boleh didapati di sini.

Pendek kata, sekiranya orang ramai melawat Pavilion Negeri, seumpama melawat Mini Malaysia dan tapak ini seolah-olah se­perti ‘medan perang’ .

‘Perang’ tersebut dilihat semakin rancak apabila setiap negeri mula memainkan muzik dan irama negeri masing-masing serta menampilkan tarian tradisi bagi menarik pengunjung untuk bertandang di rumah negeri ma­sing-masing.

Pengunjung juga pasti terpukau dengan bau-bauan daripada makanan yang disajikan di Pavi­lion Negeri.

Bagi mereka yang merantau jauh sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi rumah Negeri masing-masing bagi membeli makanan dan produk yang berasal dari negeri masing-masing.

Pavilion Negeri merupakan elemen terbaharu yang ditampilkan dalam MAHA 2016 bagi menarik pengunjung ke pameran pertanian itu.

Apa yang menarik mengenai Pavilion Negeri ini ialah setiap rumah Negeri dirasmikan oleh sama ada Sultan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri dari setiap negeri terbabit.