KUALA LUMPUR 11 Dis. – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2016) melabuhkan tirainya hari ini dengan mencatatkan kejayaan yang luar biasa apabila mendapat sambutan hangat daripada pengunjung dan para peserta pameran.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, berdasarkan kunjungan orang ramai yang masih bertali arus pada hari terakhir MAHA, dijangkakan jumlah keseluruhan pengunjung mencecah empat juta orang walaupun sasaran asal adalah tiga juta.
Menurutnya, catatan yang paling baik juga dicapai oleh MAHA kali ini apabila nilai jual beli meningkat lebih 100 peratus berbanding MAHA 2014.
“Pada MAHA lalu kita mencapai nilai jual beli sebanyak RM152 juta dan MAHA kali ini kita sasarkan sebanyak RM200 juta tetapi tanpa disangka ia mencecah RM380 juta dan tidak mustahil sebenarnya mencecah sehingga RM400 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, penyertaan golongan muda dalam MAHA 2016 juga mencecah 40 peratus walaupun sasaran pihaknya adalah 30 peratus.
“Penyertaan mereka dalam perkhemahan Agro Youth adalah seramai 6,000 orang dan di gerai-gerai pameran dan jualan rata-ratanya adalah golongan muda.
“Ini memberikan anjakan paradigma bahawa dunia pertanian dan agropemakanan yang dahulunya dikuasai oleh orang kampung dan orang tua kini kita dapati golongan muda yang semakin berminat dan terlibat secara serius dalam aktiviti usahawan di MAHA 2016,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada setiap hari pihaknya menerima sekurang-kurangnya 20 rungutan dan rasa tidak puas hati pengunjung terhadap penganjuran MAHA.
“Ada yang merungut pemandu kasar dan saya terus menemui pihak memandu meminta mereka memperbaiki perkhidmatan kerana pengunjung adalah tetamu yang mesti dilayan dengan baik.
“Isu kesesakan, isu tandas juga saya periksa setiap hari dan pada keseluruhannya pengendalian 3.5 juta pengunjung dalam masa yang singkat adalah suatu cabaran yang sangat besar,” katanya.
MAHA akan datang, katanya, akan lebih bersifat antarabangsa apabila penyertaan dari peserta luar negara akan ditambah kerana Malaysia mempunyai kemudahan yang baik untuk tujuan penganjuran.
“Kali ini ada 20 syarikat antarabangsa yang mengambil bahagian dan perlu ditingkatkan supaya lebih mendapat perhatian pengunjung,” katanya.