Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, segala persiapan dan kelengkapan bagi menganjurkan pameran itu sudah hampir selesai dan pengunjung akan disajikan dengan gerai-gerai jualan dan pameran sepanjang MAHA 2016.

“Persiapan sudah 99 peratus lengkap dan kami bersedia menerima kedatangan pengunjung esok,” katanya selepas program lawatan media sempena MAHA 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia di Serdang, hari ini.

Beliau berkata, pameran selama 11 hari itu pada tahun ini bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ menekankan isu ke­selamatan makanan dan ke­sedaran sektor pertanian sebagai tulang belakang pembangunan negara.

“Pameran yang diadakan di dalam dewan terdiri daripada lima kluster iaitu AgroTourism, AgroIT, AgroLifestyle, AgroTrade dan AgroYouth, manakala pa­meran yang diadakan di luar dewan terdiri daripada tujuh laman iaitu padi, ternakan, pertanian, nenas, herba dan sayur serta florikultur dan jentera.

“Selain itu, terdapat pameran berasaskan 14 negeri yang ma­sing-masing menawarkan reka bentuk, identiti dan kebudayaan unik,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya menjangka kedatangan 300,000 pe­ngunjung setiap hari ke MAHA 2016.

“Antara tarikan pengunjung adalah bazar agro yang memberi peluang kepada pengunjung membeli produk segar dan pertanian, kraftangan dan produk-produk yang tidak dapat secara meluas.

“Lebih menarik, pengunjung ke Laman Tiba 1 boleh membeli hasil pertanian termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran dalam sukatan sebakul atau sebaldi penuh pada harga istimewa,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 3,000 produk usahawan industri asas tani daripada pelbagai kluster ia­itu makanan, minuman, barangan beku, herba dan bahan bukan makanan akan dipamerkan di satu khemah.