Pendirian itu dinyatakan Madinah yang hadir sebagai saksi kedua dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan siasatan ke atas laporan berkenaan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memaklumkan Madinah telah memberi keterangan yang selari dengan kenyataan dibuatnya berhubung perkara itu sebelum ini.

"Kita dapat banyak keterangan daripada Madinah dan pasukannya hari ini seperti dinyatakannya dalam kenyataan akhbarnya sebelum ini bahawa laporan Ketua Audit Negara sudah diubah.

"Beliau beri keterangan-keterangan yang menunjukkan bahawa laporan itu telah diubah," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding yang memakan masa tiga jam berakhir di Bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 25 November lalu, Madinah mendedahkan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terlibat dalam pindaan itu termasuklah bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda.

Turut terbabit, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit. - UTUSAN ONLINE