Datuk Fouzi Ali.
Datuk Fouzi Ali. 

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata, penanaman padi bagi musim 2/2018 akan bermula dengan fasa satu pada 26 September manakala fasa dua pada 6 Oktober depan dan di fasa tiga pada 16 Oktober.

“Pesawah yang mengusahakan padi dalam kawasan MADA disarankan untuk mempercepatkan aktiviti di bendang seperti penyediaan tanah berikutan hujan sudah mulai turun.

“Jumlah hujan di kawasan MADA sehingga 20 September adalah sebanyak 157mm manakala peratusan takungan air di tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning adalah pada tahap 76% iaitu mencukupi untuk pengairan tanaman padi bagi Musim 2/2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kelewatan menjalankan aktiviti penanaman padi bukan sahaja boleh menyebabkan pembaziran air, malah meningkatkan risiko serangan perosak dan penyakit terutamanya serangan tikus, siput gondang, ulat gulung daun dan bena perang.

“Ia juga akan menyebabkan penyakit bawaan air dan tanah seperti hawar seludang, sambang dan hawar daun bakteria merebak selain berdepan dengan risiko menanggung kerugian hasil tanaman jika tempoh matang tanaman padi di bendang yang tidak seragam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE