Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata, program tersebut akan menjadi medan terbaik memperkenalkan produk dan perkhidmatan koperasi kepada orang ramai dan juga dalam menjalinkan perhubungan perniagaan di antara koperasi.

“MACCOPS kali ini amat istimewa apabila diadakan bersama program antarabangsa Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ICA (ICAKL 2017) dan pertama kali melibatkan peserta da­ripada luar negara.

“Pelbagai kerjasama perniagaan bakal diadakan dalam kalangan peserta karnival serta mempromosikan pelbagai perkhidmatan dan produk oleh koperasi yang terlibat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sebanyak 162 ruang pameran disediakan termasuk 20 yang bakal disertai oleh koperasi antarabangsa termasuk daripada India, Filipina, China dan Korea Selatan yang berlangsung pada 15 hingga 19 November di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Bandar Sunway, Selangor.

Antara produk dan perkhidmatan yang dipamerkan adalah perniagaan peruncitan dan pemborongan, inovasi dan teknologi, perladangan, perkhidmatan kewangan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, hartanah dan lain-lain.

Abdul Fattah berkata, pelbagai produk dan perkhidmatan ditawarkan oleh koperasi terpilih dalam negara dalam menyertai karnival kali ini yang mempunyai pelbagai peluang dalam mempertingkatkan perniagaan koperasi.

Menurutnya, semua koperasi yang menyertai karnival itu juga mempunyai kemampuan dalam memasarkan produk ke peringkat antarabangsa secara tidak langsung akan meningkatkan kepercayaan koperasi antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh koperasi tempatan.

“Produk yang akan dipamerkan juga sudah mempunyai kelayakan untuk di pasar ke luar negara seperti sijil amalan pengilangan baik (GMP), sijil kesihatan, halal dan lain-lain yang diiktiraf antarabangsa,” katanya.

Selain daripada itu, orang ramai juga berpeluang melihat sendiri produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh koperasi sama ada untuk membeli sendiri atau melakukan perkongsian perniagaan pintar.

Tambahnya, pelbagai program turut diadakan untuk memeriahkan program tersebut seperti acara demonstrasi masakan, kebudayaan, cabutan bertuah dan pelbagai lagi acara menarik untuk pengunjung yang hadir.

“Pengunjung yang bertuah juga berpeluang membawa pulang hadiah bernilai lebih RM100,000 termasuk sebuah kereta Proton Iriz, motosikal, te­lefon pintar, televisyen, kompu­ter dan sebagainya,” katanya.