Walaupun bertujuan memberi pengajaran kepada generasi muda tetapi ramai melihat perkara itu tidak sesuai dan lebih baik subjek Sejarah memberi penekanan kepada asas kenegaraan seperti Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Bercakap perkara ini dengan wartawan Utusan Malaysia, HERMAN HAMID, ahli akademik yang juga pakar perundangan, Prof. Datuk Salleh Buang menekankan kes yang dalam prosiding mahkamah perlu dielakkan kerana subjudis selain mengakui keperluan pendedahan sejarah perlembagaan kepada generasi muda.

Utusan: Pandangan Datuk cadangan memasukkan skandal 1MDB dalam silibus Sejarah peringkat sekolah?

Salleh Buang: Macam tak masuk akal saja.

Mengapa?

Kes 1MDB adalah subjudis. Masih dalam mahkamah, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga berterusan diperkatakan orang. Benda-benda masih kontroversi ini kenapa nak masuk dalam silibus subjek sekolah.

Kesannya kalau dimasukkan juga?

Saya bercakap sebagai pengamal undang-undang, perkara yang masih dibicarakan perlu dielakkan kerana jika tidak, itu boleh dianggap menghina mahkamah. Macam mana?

Komen Datuk pandangan ramai yang mahukan subjek Sejarah tekankan asas kenegaraan seperti Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara?

Ya, saya setuju, sekarang memang kurang. Cuma, silibus itu harus disediakan oleh pakar sejarah, bukan ahli undang-undang agar kandungannya tidak menjadi ‘legalistik’ (bahasa undang-undang). Subjek ini agak berat, menengah atas boleh dilakukan.

Apa kandungan yang perlu ditekankan?

Dedahkan aspek sejarah perlembagaan kerajaan yang ada dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga negara kita merdeka. Bagaimana perlembagaan termasuk kerajaan yang pernah ada di negara ini menjadikan Islam sebagai teras, contohnya.