Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, berkat usaha pelbagai pihak termasuk pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pejabat Pembangunan Negeri, Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam, Unit Perancang Ekonomi dan pelbagai agensi lain, pembinaan bangunan kekal empat tingkat pusat tahfiz itu yang bernilai RM3.9 juta akan dimulakan hari ini.

Menurutnya, dengan terbinanya bangunan itu nanti, pusat tahfiz berkenaan dijangka memiliki bilik kuliah dan pentadbiran sendiri serta mampu menampung pertambahan pelajar sehingga 120 orang pada satu-satu masa.

“Harapan saya selepas ini pusat tahfiz ini akan dapat menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan al-Quran lain dari dalam dan luar negara agar menjadi sebuah pusat pendidikan al-Quran bertaraf antarabangsa sekali gus berupaya membekal pengetahuan al-Quran secara dinamik kepada masyarakat negeri ini.

“Kerajaan negeri mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan penghargaan khas kepada Tan Sri Mohd. Ali Rustam atas usaha dan kesungguhan beliau membantu merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Idris berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Maahad Tahfiz al-Quran Sayyidina Ali Jabatan Agama Islam Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.

Selain Mohd. Ali yang juga merupakan Pengerusi Masjid Sayyidina Ali, yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad dan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Yaakob Md. Amin.

Sehingga kini, maahad tahfiz itu telah menerima sejumlah 343 pelajar dan 54 daripada mereka telah melanjutkan pengajian ke Mesir dan beberapa universiti tempatan dalam dan luar negara. - UTUSAN ONLINE