MYMOON ALIAS
MYMOON ALIAS

Presiden MAAH, Dr. Mymoon Alias berkata, kanak-kanak perempuan pada umur tersebut sudah tentu tidak mempunyai fungsi tubuh badan yang matang untuk tujuan reproduksi.

Beliau berkata, perkembangan mental dan emosi mereka juga belum bersedia untuk menerima tanggungjawab sebagai seorang isteri.

"Apa-apa pendirian dan cadangan membabitkan kanak-kanak dan remaja haruslah melibatkan pandangan pihak yang pakar terutama dalam perkembangan fizikal, mental dan emosi mereka.

"Selain faktor kesihatan, kanak-kanak yang berkahwin tidak akan mempunyai peluang untuk membina personaliti sendiri.

"Pendidikan dan pelajaran mereka juga akan terbantut dan peluangnya membangunkan diri tersekat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Justeru, Mymoon mengingatkan, kepentingan terbaik kanak-kanak haruslah menjadi keutamaan dalam menentukan sebarang keputusan membabitkan kanak-kanak.

"Sebagai orang yang ada kuasa, kita haruslah berbincang dengan golongan yang pakar dan mahir dalam bidang tertentu sebelum membuat sebarang keputusan dan pendirian," katanya. - UTUSAN ONLINE