Ketegasan tersebut walau bagaimanapun hanya bersifat sementara apabila Ahli Parlimen Ipoh Barat itu hari ini menjelaskan bahawa syarat itu hanyalah cadangan.

Kata beliau, kementerian akan bertimbang rasa kepada pengusaha makanan dalam pengambilan tukang masak tempatan.

"Kami akan berhubung dengan beberapa pihak sebelum proses akhir ditentukan," katanya seperti dipetik melalui portal Mstar, hari ini.

Semalam, Kulasegaran mahu semua pengusaha restoran di negara ini hanya mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja bermula 1 Julai.

Tegasnya, semua pengusaha akan diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi syarat tersebut.

Kenyataannya itu mencetuskan kritikan pelbagai pihak khususnya para netizen di laman sosial dan beberapa persatuan pengusaha makanan.

Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma), P. Muthusamy berkata, keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita menghadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya. - UTUSAN ONLINE