Penerimaan zakat perniagaan itu disempurnakan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Bakhtiar Hussin dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Concorde, di sini malam ini.  

Antara kesemua syarikat itu, Maybank Islamic Berhad menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM865,241.96 kepada LZS diikuti MTD Capital Berhad (RM570,00), Advance Air Traffic System (RM524,410.08) dan Kumpulan Perangsang Selangor berjumlah RM500,000. 

Pada masa sama, antara syarikat yang turut melaksanakan bayaran zakat itu ialah Celcom Axiata Berhad membabitkan jumlah RM427,914, KUB Gaz Sdn. Bhd. (RM413,649), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM251,421.78) dan Pharmaniaga Logistic Sdn. Bhd. bernilai RM250,000. 

Sementara itu, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini ketika berucap dalam majlis itu berkata, prestasi pengurusan zakat semakin positif dan pihaknya meletakkan sasaran agihan kepada asnaf pada tahun ini mencecah RM800 juta atau lebih. 

"Berbanding penyata kutipan dan agihan zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, LZS mengagihkan sebanyak RM521.84 juta kepada golongan asnaf merangkumi RM88.1 juta kepada asnaf fakir, asnaf miskin (RM205.7 juta), asnaf mualaf (RM45.1 juta), asnaf riqab (RM22.6 juta), asnaf gharim (RM47.8 juta), asnaf fisabilillah (RM112.3 juta) dan asnaf ibnu sabil berjumlah RM248,000," katanya. 

Dalam masa sama, majlis itu turut menyaksikan LZS menyalurkan bantuan zakat kepada sembilan penerima dengan jumlah keseluruhan RM158,235. 

Daripada kesemua penerima itu, dua daripadanya adalah pesakit yang memerlukan rawatan dialisis iaitu Muhammad Hasif Muhammad Haidar dan Normah Kassim. 

Selain itu, dua lagi penerima zakat iaitu Muhammad Abu Jawzy dan Norsiah Hamzah masing-masing bagi menampung kos pembedahan implan jantung dan pembedahan implan tulang kaki. 

Selain itu, lima lagi individu masing-masing menerima bantuan zakat bagi menampung kos pendidikan. 

Malah, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat berbentuk geran tahunan bernilai keseluruhan RM95,000 kepada lima buah rumah kebajikan yang berdaftar di bawah MAIS. - UTUSAN ONLINE