Beliau yang menyambung perkhidmatan untuk tempoh dua tahun lagi bermula hari ini, memberi jaminan untuk mencapai sasaran itu selaras dengan pendekatan serupa yang kini di­amalkan di peringkat mahkamah bawahan.

Zulkefli Ahmad Makinudin
Zulkefli Ahmad Makinudin

Zulkefli, 66, berkata, Presiden Mahkamah Rayuan terdahulu, Tun Md. Raus Sharif (kini Ketua Hakim Negara) sudah melaksanakan tugasnya dengan amat baik sehingga berjaya menyelesaikan kes tertunggak hampir separuh daripada jumlah keseluruhan.

“Sasaran saya adalah untuk melupuskan kes di peringkat ra­yuan berdasarkan tempoh semasa iaitu kes dilupuskan dalam jangka masa setahun selepas pendaftaran, sama seperti di mahkamah bawahan,’’ ujarnya kepada pemberita di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis angkat sumpah jawatan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan yang disempurnakan di hadapan hakim Mahkamah Rayuan paling kanan, Datuk Mohtarudin Baki dan disaksikan oleh Md. Raus dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop.

Zulkefli dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 1 April lalu dan tamat pada 27 September lalu. Bagaimanapun, pada 23 September lalu, perkhidmatan beliau disambung untuk dua tahun lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ditanya cabaran yang dihadapinya untuk tempoh yang singkat memegang jawatan sebagai hakim tambahan, Zulkefli berkata, jangka masa dua tahun itu lebih daripada mencukupi dan `sedang elok’ untuk beliau berbakti dalam badan kehakiman.

Menurutnya, setakat ini, beliau telah menghasilkan hampir 100 naskhah penghakiman bertulis yang telah dilaporkan dalam Jurnal Undang-Undang Malaysia dan jumlah itu tidak termasuk penghakiman lisan yang diputuskan dari sehari ke sehari sepanjang perkhidmatannya di mahkamah tertinggi negara.

Zulkefli berkata, beliau bukan ingin membanggakan diri namun hasil kerja­nya itu direkodkan yang menjadi pendorong dan sema­ngat untuk berkhid­mat selama dua ta­hun lagi.

Ujar ‘orang nombor dua’ selepas Ketua Hakim Negara itu, beliau memberi jaminan untuk melakukan yang terbaik berdasarkan pengalamannya selama 10 tahun sebagai hakim Mahkamah Persekutuan bermula 5 September 2007.

Selain itu, ujarnya, beliau berpengalaman selama lima tahun menyelia perjalanan pentadbiran Mahkamah Tinggi ketika meme­gang jawatan sebagai Hakim Besar Malaya bermula 12 September 2011.

“Jawatan sebagai Hakim Besar Malaya memberi peluang kepada saya untuk memahami cara kerja dan keupayaan hakim-hakim Mahkamah Tinggi ketika itu dan hampir separuh daripada mereka telah dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan dan kini di bawah seliaan saya,’’ ujarnya.