Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, bagaimanapun beliau tidak mengetahui empat lagi subjek yang lain memandangkan ia diputuskan oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB).

“Terdapat lima mata pelajaran wajib termasuk Bahasa Melayu, tetapi bagi subjek lain, saya tidak boleh memberi komen bagi pihak lembaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi (JMIPT) di sini, hari ini.

Teo turut melahirkan rasa gembira UEC pada tahap Senior Middle 3 diiktiraf sebagai kelayakan pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk menduduki peperiksaan CLP dan berharap semua pihak tidak mempolitikkan keputusan LPQB tersebut.

“Ini kerana, apabila saya menduduki CLP pada 2004, UEC memang telah diterima. Jangan buat pelbagai tuduhan yang tidak patut terhadap isu ini,” katanya.

Jumaat lalu, Pengerusi LPQB Tommy Thomas yang juga Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM dan A-Levels bagi tujuan menduduki peperiksaan CLP.

Menurut Tommy mulai 1 Jan 2021, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil UEC ialah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada peringkat Senior Middle 3 dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM / 0-Levels / setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Sementara itu, mengenai karnival JMIPT, Teo berkata lebih 320,000 pengunjung hadir pada karnival itu yang diadakan di enam lokasi di seluruh negara iaitu di Johor, Sabah, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak sebelum ini serta yang terakhir di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini bagi Zon Tengah.

Katanya, program anjuran Kementerian Pendidikan itu diadakan bagi mempromosi dan menyebar luas maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan universiti awam (UA), institusi latihan kemahiran awam (ILKA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta institusi lain kepada orang awam dan pelajar bagi urusan kemasukan sesi akademik 2019-2020.

Selain itu, Teo mengingatkan semua pelajar yang ingin mengikuti sesi akademik 2019-2020 untuk medaftar di laman sesawang Unit Pengambilan Pelajar (UPU) yang akan ditutup pada 2 April ini. - BERNAMA