Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika me­ngumumkan perkara itu hari ini memberitahu, Sijil Matrikulasi Kementerian Pendidikan yang akan dianugerahkan kepada lulusan berkenaan merupakan satu pengiktirafan kepada kecemerlangan program terbabit.

Tambah beliau, langkah tersebut juga adalah penambahbaikan program berkenaan yang dikendalikan Kementerian Pendidikan sejak 16 tahun lalu.

“Setelah mengambil kira pelbagai kecemerlangan yang dicapai oleh program matrikulasi Kementerian Pendidikan, kini tiba masanya kementerian memperluaskan pengiktirafannya.

“Semua lulusan matrikulasi kementerian ini akan dianugerahkan sijil bagi tujuan pelantikan ke perkhidmatan awam dan swasta seperti mana dinikmati oleh pelajar tingkatan enam yang lulus STPM,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kolej Matrikulasi Kedah di sini hari ini.

Tambah beliau, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan langkah berkenaan termasuk berkaitan penetapan tangga gaji sama seperti lulusan STPM.

Matrikulasi adalah satu program persediaan bagi pelajar untuk melayakkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan komited dalam melahirkan melahirkan warganegara yang bertamadun tinggi, termasuklah memperkasa kemahiran in­saniah dari prasekolah sehinggalah ke peringkat lepas menengah (prauniversiti).

“Program matrikulasi diiktiraf di luar negara dan lulusannya juga boleh melanjutkan pengajian di universiti-universiti berprestij di luar negara. Sebagai contoh, lulusan matrikulasi bukan sahaja diiktiraf oleh badan pengiktirafan antarabangsa iaitu Edexcel Foundation United Kingdom, malah turut diterima masuk secara terus ke universiti-universiti ternama di dunia.

“Antaranya 11 universiti di United Kingdom seperti University of Kings College London, University of Manchester dan University of Birmingham, lima universiti di Australia termasuklah Australian National University dan University of Sydney dan dua universiti di New Zealand iaitu University of Auckland dan University of Wellington,” katanya.