Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin berkata, Malaysia bukan negara diktator atau negara raja berkuasa mutlak yang boleh melucutkan warganegara seseorang.

Beliau yang juga terkenal dengan sikap kritikalnya kepada golongan raja-raja turut memberitahu, sebagai negara raja berperlembagaan sudah tentu setiap tindakan perlu mengikut undang-undang.

“Kalau silap sikit kita lucutkan kewarganegaraan, akhirnya tidak banyaklah warganegara kita yang tinggal.

“Jadi apabila kita membuat cadangan janganlah keterlaluan atau bercanggah dengan Perlembagaan sehingga kita nampak tidak cerdik dan anti-demokrasi,” katanya menerusi entri terbaharu blog kadirjasin.blogspot.com, hari ini.

Jelas A.Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menyambut baik persetujuan antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berterus terang antara satu sama lain.

“Baguslah. Pertemuan kali ini adalah atas kehendak Sultan. Maka dalam semangat yang sama, saya rasa kita pun hendaklah berterus terang juga antara satu sama lain,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak perlu sentiasa ingat bahawa setiap tindakan yang meletakkan institusi raja sebagai eksklusif antara punca banyak kerajaan beraja di dunia lenyap.

“Oleh yang demikian kita perlu saling menegur dan memberi peringatan. Hanya Rasullah SAW maksum.

“Misalnya kalau kita tahu ada tauke cuba rasuah raja kita atau ada orang yang pergi merata tempat cari tanah kerajaan kononnya bagi pihak raja, isteri raja dan anak raja kita kena bersuara,” katanya. - UTUSAN ONLINE