Ibu angkat sering menceritakan tentang asal usul saya dan dia juga menghina serta menceritakan keburukan keluarga kandung saya kepada orang luar. Keadaan itu menyebabkan saya rasa sangat terhina. Sejak ibu angkat melahirkan anak lelaki, saya selalu dirotan dan dimarah. Mereka menghantar saya ke sekolah tahfiz tetapi pada usia 12 tahun, saya melarikan diri dari pusat berkenaan kerana tidak tahan dibuli. Saya kembali dijaga keluarga angkat dan bersekolah sehingga tingkatan tiga.

Perasaan memberontak bermula apabila berita ibu kan­dung meninggal dunia dibe­ritahu selepas setahun malah saya tidak dibenarkan untuk menziarahinya. Sejak itu saya mengambil keputusan untuk tinggal bersama adik kembar ibu kandung di Skudai, Johor.

Saya dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti disebabkan ke­salahan menceroboh bangunan sebuah pasar raya di Skudai. Kejadian berlaku semasa saya berumur 15 tahun dan ekoran itu saya tidak sempat menduduki peperiksaan Pentaksi­ran Tingkatan Tiga (PT3). Pada mulanya saya mengikuti ibu saudara ke sebuah pasar raya, tetapi tidak menyangka bahawa dia mencuri di kawasan itu. Semasa menunggu jatuh hukum, saya membuat solat tahajud supaya diberi petunjuk atas kejadian yang me­nimpa dan saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya.

Selepas keluar nanti saya berazam untuk sambung belajar sehingga mendapat sijil dan ditauliahkan menjadi tenaga pengajar dan mencapai cita-cita untuk menjadi seorang ustaz.

Saya akan mengambil hala tuju sendiri dengan kemahiran yang ada serta tidak akan kembali kepada keluarga sendiri mahupun keluarga angkat.”

Salleh Ahmad 
(bukan nama sebenar), 16,

Asal Pasir Gudang, Johor

 

KES 2: “AYAH saya dimasukkan ke penjara atas kesalahan memiliki barang curi pada 2014. Sejak itu, saya tinggal bersama ibu dan tiga orang kakak. Kehidupan kami sekeluarga ditanggung sepenuhnya oleh kakak kedua. Saya diberhentikan sekolah ketika di tingkatan tiga kerana selalu ponteng dan lepak di sekolah lain.

Saya dimasukkan ke Sekolah Tunas Bakti disebabkan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu merompak bersenjata dan merompak berkawan selepas ditahan di rumah kerana memiliki kereta curi.

Semasa polis datang, mereka bertanya kepada ibu sama ada saya berada di rumah sebelum terus datang kepada saya dan bertanya nama serta nombor kad pengenalan. Selepas saya menjawab, mereka terus menggari dan membawa saya ke dalam van, malah ibu tidak sempat berkata apa-apa.

Jenayah ini selalu dilakukan bersama lima lagi rakan yang tinggal berhampiran rumah. Saya mengenali mereka sejak kecil dan berkawan walaupun usia mereka lebih tua. Semasa kejadian ha­nya saya yang berusia 16 tahun manakala rakan lain berumur 20 tahun ke atas. Ini merupakan kali kedua saya ditahan. Pertama kali ditahan ibu datang jamin. Kali ini selepas dijatuh hukum saya terus dihantar ke sini.

Kini saya menyesal kerana menyusahkan ibu dan kakak. Mereka sering melawat saya di sini sejak dimasukkan 15 bulan lalu. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini dan merancang membuka bengkel kereta selepas keluar nanti.”

M. Raju 
(bukan nama sebenar), 17,

Asal Kajang, Selangor

 

KES 3: “SUDAH setahun saya berada di sini selepas ditahan ketika polis membuat serbuan di rumah akibat positif dadah jenis Methape­tamine. Dadah itu saya peroleh daripada orang luar yang datang ke lokasi lepak saya dan rakan-rakan. Pada mulanya, saya hanya mencuba tetapi lama kelamaan terjebak dan mengambilnya untuk melakukan kerja.

“Saya anak bongsu daripada empat beradik dan berhenti sekolah pada umur 13 tahun kerana tidak minat belajar sejak umur 10 tahun selain terlibat dalam penggunaan dadah sejak berumur 15 tahun. Keluarga tidak mengetahui saya mengambil dadah walaupun lebih setahun terjebak dengannya kerana ketika di rumah saya berkelakuan baik. Ibu selalu masuk bilik dan memeriksa tetapi tidak menjumpai dadah kerana saya meletakkannya di bahagian siling rumah.

Selepas masuk di sini, saya berasakan disiplin sangat penting dan berharap dapat menyertai tentera selepas keluar dari sini.”

Zamri Zainal
(bukan nama sebenar), 18,

Asal Kuantan, Pahang