Pengurus Besar LPT2 Sdn. Bhd., Husni Md. Yusuf berkata, LPT2 sebagai lebuh raya ke-31 dan terakhir yang menggunakan sistem pembayaran tol tanpa tunai bagi melancarkan lagi perjalanan.

Beliau berkata, sistem transaksi secara elektronik menggunakan kad Plusmiles, Touch n Go atau Smartag berkenaan bakal melibatkan 10 plaza tol di sepanjang laluan.

"LPT2 dilalui oleh purata 14,000 pengguna yang majoritinya dengan kenderaan persendirian setiap hari, dan 63.8 peratus pengguna sudah membayar tol dengan menggunakan sistem transaksi elektronik.

"Sehubungan itu, kita menjangkakan kebanyakan pengguna sudah bersedia dan pelaksanaan sistem transaksi tol secara elektronik sepenuhnya akan berjalan dengan lancar," katanya dalam taklimat kepada taklimat media di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, bagi memudahkan pengguna menambah nilai kad Plusmiles dan Touch n Go masing-masing, LPT2 Sdn. Bhd. juga akan menyediakan 13 mesin layan diri di hentian dan kawasan rehat dan rawat terpilih di sepanjang lebuh raya ini. - UTUSAN ONLINE