Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, jumlah itu me­ningkat empat kali ganda berbanding hari biasa di samping pertambahan 100,000 berban­ding pada musim perayaan tahun lalu.

Menurutnya, bagi melancarkan aliran trafik ketika orang ramai berpusu-pusu untuk pulang, para pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di sepanjang laluan untuk mengurangkan ke­sesakan lalu-lintas dan mengesan kesalahan pemandu.

“Pada tahun lalu, kira-kira 500,000 kenderaan menggunakan laluan tersebut dan tahun ini jumlah itu dijangka meningkat, kesesakan dijangka berlaku sehingga 2 Julai.

“Susulan peningkatan jumlah kenderaan itu, kami juga tidak menolak kemungkinan ke­sesakan berlaku khususnya di laluan keluar seperti Plaza Tol Gemuroh,” katanya di sini sema­lam.

Aidi memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu yang me­lakukan kesalahan seperti tidak mematuhi had laju, menggunakan lorong kecemasan dan ke­salahan lain.

Jelasnya, selain LPT 2, kesesakan dijangka berlaku di tujuh laluan lain melibatkan daerah Kuala Terengganu, Besut dan Setiu.

“Di Kuala Terengganu melibatkan Jalan Sultan Mohamad, Jalan Tengku Mizan, Bulatan Batu 6 menghala ke Banggol Air Lilih dan Plaza Tol Kuala Terengganu manakala dua di Setiu (Persimpangan Chalok dan Persimpangan Guntung Luar) dan pekan Jertih di Besut,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aidi menambah, hanya 10 peratus daripada 3,474 pegawai dan anggota polis dibenarkan bercuti sempena Aidilfitri dan daripada jumlah itu, 530 orang termasuk 188 pegawai dan anggota trafik ditugaskan untuk mengawal lalu lintas.