Program yang diselaraskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu membabitkan peruntukan sebanyak RM188 juta melibatkan pembangunan industri tenusu, ja­gung bijian, kelapa, durian, nanas, galakan pemasaran dan eksport serta industri kulinari.

Ketua Pengarah LPP, Datuk Mohd. Salim Taha berkata, pihaknya dipertanggungjawabkan untuk memberi fokus kepada dua sumber kekayaan baharu iaitu ja­gung bijian dan durian.

“Projek tanaman jagung bijian dimasukkan bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian dan melibatkan pemba­ngunan infrastruktur, penyediaan mekanisasi dan peralatan serta pengembangan dan komunikasi.

“Manakala pembangunan industri durian pula menetapkan sasaran pengeluaran sebanyak 28,000 tan metrik menjelang 2020 dan per­untukan yang agak besar disediakan meliputi Program Kluster Durian yang merangkumi aktiviti pembersihan dan penyediaan kawasan, penyediaan infrastruktur dan sebagainya.

“LPP turut terlibat memba­ngunkan industri kelapa matag yang meliputi tanam semula dan pemulihan, penanaman secara estet atau mini estet serta projek tanaman integrasi,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bakri, Muar, Johor baru sahaja memulakan projek jagung bijian varieti Syngenta pada April 2017 dengan keluasan 8 hektar di ZPM Chem­plak, Labis, Johor.

Jagung bijian ini diperlukan untuk campuran bahan makanan haiwan ternakan sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan bekalan import jagung bijian.

Projek berkenaan dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan oleh LPP berjumlah RM105,000 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) berjumlah RM77,585.

“Bagi durian pula, PPK Jelebu, Negeri Sembilan, telah menanam seluas 10.4 hektar pada 1997, dengan hasrat me­ningkatkan pe­ngeluaran makanan negara.

“PPK Jelebu mendapat peruntukan daripada LPP sebanyak RM260,000 dan turut mengeluarkan modal sendiri seba­nyak RM256,000 bagi memba­ngunkan projek tersebut dengan anggaran pendapatan sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 setahun.

“Manakala PPK Bagan Datoh, Perak, pula memulakan projek kelapa matag pada 2009 dengan keluasan 187.49 hektar dengan penyertaan para peladang yang diurus secara pengurusan berpusat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan berkata, projek-projek berkenaan diwujudkan bertujuan mening­katkan pendapatan peserta di samping melatih peladang mengamalkan pertanian secara komersial dan menggunakan teknologi moden.

“Secara tidak langsung, peladang dan petani dapat mempelbagaikan kegiatan pertanian secara integrasi di samping meneroka bidang-bidang baharu seperti ternakan dan tanaman kontan yang dapat memberi pulangan lumayan,” katanya.