Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana, pembinaan rang­kaian pengangkutan awam canggih dan komprehensif itu secara tidak langsung diharap melonjakkan kedudukan nege­ri ini sebagai hab Greater KL yang moden dan canggih.

“Malang sekali bagi Negeri Sembilan apabila projek HSR ini dibatalkan kerana ia adalah projek yang boleh menjadi faktor perubah kepada pembangunan dan ekonomi negeri ini,” katanya ringkas menerusi aplikasi pesanan WhatsApp kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan Pakatan Harapan membatalkan projek HSR yang bernilai RM100 bi­lion seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) projek HSR bagi membina landasan sepanjang 350 kilometer yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Jurong East, Singapura.

Projek itu yang mempunyai lima transit iaitu Seremban (Negeri Sembilan), Ayer Keroh (Melaka), Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri di Johor dijadualkan beroperasi pada 2026.

Mohamad sebelum ini memberi­tahu, HSR adalah antara projek dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional untuk melengkapkan kemudahan infrastruktur pe­ngangkutan awam yang memberi manfaat kepada orang ramai.

“Ia akan memberi kemudahan kepada orang awam khususnya di sektor perkhidmatan dan pelancongan kerana pelancong dari Singapura cuma mengambil masa kira-kira 60 minit untuk sampai ke Negeri Sembilan,” katanya.

Menurutnya, projek berke­naan juga secara tidak langsung akan menyambung semula perkhidmatan kereta api dari Seremban ke Port Dickson.