Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pe­ningkatan itu dijangka melalui pertambahan aktiviti dagangan melibatkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memasuki pasaran global selepas DFTZ diwujudkan.

“Sektor PKS pada hari ini menyumbang kepada 37 peratus KDNK, tetapi dengan adanya DFTZ saya yakin KDNK boleh meningkat sehingga 80 peratus.

“Ini kerana barangan yang dahulunya hanya dijual di dalam negara oleh usahawan PKS kini boleh dijual di pasaran global dengan kewujudan DFTZ. Saya percaya pencapaian ekonomi negara dapat digandakan dengan menggunakan medium ekonomi digital ini,” katanya ketika ber­ucap pada majlis pelancaran DFTZ, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

Menurut Perdana Menteri, DFTZ yang merupakan hab ekonomi digital pertama di dunia di luar China yang memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran usahawan PKS dan usahawan muda adalah bukti bahawa kerajaan cekap dalam melaksanakan agenda pemantapan ekonomi negara.

“Jack dan saya berjumpa kira-kira empat bulan lalu dan ramai yang tertanya-tanya sama ada Malaysia mampu lakukannya.

“Pelancaran DFTZ merupakan bukti kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang cekap apabila mampu melaksanakan DFTZ dalam tempoh empat bulan sahaja,” katanya.

Najib berkata, kerajaan juga bersedia menawarkan kawasan berkeluasan 46,451.52 meter atau 500,000 kaki persegi di Bandar Malaysia di sini untuk dijadikan sebagai hab untuk semua usahawan PKS berkumpul dan memulakan platform perniagaan e-dagang di sana.

Tambahnya, kerajaan juga bersetuju menyediakan kawasan seluas lapan hektar di KLIA Aeropolis bagi melaksanakan inisiatif e-servis yang menjadi salah satu komponen dalam DFTZ, malah bersedia memberi pertimbangan untuk menambah kepada 36 hektar.

“Usaha ini merupakan satu kejayaan baharu yang dicapai negara dan pelaksanaannya sudah tentu akan membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi dan negara,” katanya.