Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perbincangan yang sedang berlangsung antara Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu bertujuan mencapai jalan penyelesaian terbaik untuk masyarakat serta pihak bank.

“Mesti ada mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah syarat pinjaman perumahan tanpa menjejaskan kepentingan dan peraturan pihak bank.

“Perbincangan sudah ada dan kita cuba selesaikan masalah ini dengan cepat sebab sekarang rakyat tengah semangat terhadap kepemimpinan kerajaan baharu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di dua blok Rumah Transit 1Malaysia Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada 5 Julai 2013, BNM mengumumkan peraturan pinjaman perumahan dan peribadi lebih ketat bagi mengawal peningkatan hutang isi rumah di negara ini.

Mac lalu, Lim Guan Eng ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, langkah untuk melonggarkan syarat kelayakan permohonan pinjaman perumahan bank boleh dipertimbangkan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pada itu, Zuraida berkata, pelan tindakan bagi menyelesaikan masalah-masalah berbangkit di kawasan perumahan di bawah kementerian akan dirangka dengan kerjasama penduduk.

Kata beliau, buat masa ini, antara masalah yang berbangkit yang diterima melalui tinjauan yang dilakukan adalah syarikat pengurusan telah tamat tempoh dan kerosakan beberapa kemudahan seperti pam air dan lif.