Dennis Ngau
Dennis Ngau

Kampung Long San yang terletak kira-kira lima jam perjalanan dari bandar raya Miri dipilih bersama sebuah lagi lokasi terpencil di Afrika oleh Silicon Valley dari Amerika Syarikat (AS) untuk ujikaji itu pada 27 Ogos lalu.

Sekiranya projek perintis itu berjaya, ia membolehkan beribu penduduk yang mendiami rumah panjang di kira-kira 20 perkampungan di kawasan Telang Usan menikmati kemudahan Internet seperti di bandar-bandar besar dan kota raya utama seluruh dunia.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kerana mencadangkan Kampung Long San kepada Silicon Valley sebagai lokasi menjalankan uji kaji pertama projek Belon Satelit.

“Program kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Silicon Valley ini memilih satu lokasi di Kampung Long San iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Datuk Lawai Jau untuk menjalankan uji kaji Projek Belon Satelit ini atas cadangan Ketua Menteri.

Abang Johari memilih kawasan Telang Usan khususnya SMK Temenggong Datuk Lawai Jau di Kampung Long San kerana mempunyai perasaan sentimental terhadap tempat tersebut.

“Beliau berasa bertanggungjawab untuk membangunkan kawasan terpencil itu sebagai membalas jasa Temenggong Datuk Lawai Jau iaitu bekas pemimpin Kenyah yang telah memberi kerjasama baik kepada Allahyarham bapanya, bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Haji Openg Abang Shapie semasa menyertai Kabinet negeri suatu masa dahulu,” katanya.

Dennis berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) yang dipengerusikan Abang Johari yang juga Presiden Saberkas di sini hari ini.

Menurut Dennis, terdapat kira-kira 20 kampung terdapat di kawasan Telang Usan dan setiap kampung yang mempunyai rumah panjang tersebut didiami oleh kira-kira 1,000 penduduk.

Beliau berkata, hal ini bermakna jika projek uji kaji itu berjaya, ia akan memberi manfaat kepada beribu penduduk di kawasan Te­lang Usan.

Katanya, ketika ini, kemudahan Internet menggunakan kabel agak terhad kerana dihalang oleh pokok-pokok memandangkan kedudukan kawasan terbabit yang jauh di pedalaman, bergunung-ganang dan mencabar.

“Sebab itu, penduduk Telang Usan berasa teruja dengan Projek Belon Satelit ini. Buat masa ini, mereka hanya dapat membuat panggilan telefon dan menghantar pesanan di kawasan tertentu sahaja kerana liputan Internet terbatas,” katanya.