Persoalannya, jika kerajaan negeri sudah tahu masalah tersebut berlarutan sejak 2016 lagi, kenapa loji-loji pam air bersih di SSP3 yang menjadi antara nadi utama kepada penduduk Lembah Klang dan Selangor tersebut tidak dibaiki segera, sebaliknya kerja-kerja pembaikan tersebut hanya diberikan kepada kontraktor pada Januari lalu.

 

Tambah mengejutkan, Utusan Malaysia difahamkan, laporan mengenai jangkaan masalah air itu sudah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan segera tetapi pentadbiran Mohamed Azmin dilihat mele­ngah-lengahkan perkara tersebut menyebabkan tahun ini sahaja, sudah dua kali gangguan bekalan terjadi.

Pengurus loji SSP3, Azman Abd. Aziz ketika ditemui memberitahu, empat unit pam di loji tersebut tidak boleh dibaiki berikutan kekurangan tenaga pakar dalam syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash).

“Bagi pam nombor lapan yang mengalami kerosakan bearing yang dikesan pada Januari lalu gagal berfungsi sepenuhnya, sementara pam nombor empat yang rosak sejak Mei 2017 masih belum dapat dibaiki kerana melibatkan masalah kos.

“Kerja memperbaiki ini sedang dijalankan namun perlu dibuat secara berperingkat-pe­ringkat kerana memerlukan pemantauan rapi,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib ke loji itu di sini hari ini.

Sementara itu, harapan pengguna agar masalah tersebut di­atasi segera tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya mereka perlu berterusan menanggung kepayahan apabila Zaidy yang mewakili kerajaan negeri menjangkakan masalah berkenaan hanya dapat diselesaikan pada Ahad.

Jelasnya, kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan melalui 10 pasukan kontraktor yang telah dilantik susulan insiden letupan sistem mampatan udara di Loji SSP3 yang mengakibatkan lima batang paip sistem bersaiz 1,100 meter rosak.

“Pihak Pengurusan Air Sela­ngor telah mengaktifkan sembilan pusat khidmat setempat dan menambah jumlah kapasiti lori tangki kepada 96 buah dan 11 lori tangki jambo bagi membantu orang ramai yang terjejas.

“Oleh demikian, kerja-kerja pembaikan akan siap pukul 6 petang esok secara berperingkat-peringkat dan dua buah kawasan iaitu Kuala Langat dan Hulu Selangor akan pulih pada Sabtu manakala empat kawasan lain iaitu Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam pula akan menikmati bekalan air pada Ahad,” ujarnya.