DR. NOOR HASNAH KHAIRULLAH
DR. NOOR HASNAH KHAIRULLAH 

Presiden Pertubuhan Wanita Dalam Nuklear Malaysia (Women in Nuclear - WIN), Dr. Noor Hasnah Khairullah berkata, kerajaan berhak membuat keputusan untuk tidak memiliki loji tersebut tetapi demi masa hadapan untuk negara memiliki bekalan tenaga berterusan, keputusan tersebut perlu dikaji semula.

"Bekalan tenaga melalui fosil atau arang batu lama kelamaan akan habis. Melalui sumber-sumber tenaga lain seperti solar dan hidro hanya memberikan sumbangan yang agak kecil.

"Jika kita bimbangkan isu keselamatan, kebocoran loji dan sebagainya seperti yang berlaku di Fukushima Jepun, ia tidak lebih akibat faktor bencana malapetaka alam.

"Akibat kejadian gempa bumi pada 9 skala richter diikuti dengan kejadian tsunami yang dahsyat menyebabkan loji nuklear Fukushima yang dibina sejak tahun 1970an itu mengalami kebocoran, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Kali Ketiga Wanita Dalam Nuklear Malaysia (WIN) 2018 di Dewan Tun Dr. Ismail Agensi Nuklear Malaysia, Bangi dekat sini hari ini.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Zulkifli Mohamed Hashim, Agensi Nuklear Malaysia.

Noor Hasnah berkata, Malaysia boleh belajar dari pengalaman negara-negara lain yang mempunyai loji nuklear supaya negara bakal mempunyai loji nuklear yang lebih selamat dengan ciri keselamatan yang paling tinggi.  UTUSAN ONLINE